SISKA turut didedahkan dengan kemahiran membentang kertas projek.

ATMA Lahirkan Pegawai Tentera Berwibawa

Membentuk pegawai tentera yang tahan lasak, berketrampilan dan mempunyai ketahanan mental yang tinggi, bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi dalam keadaan negara yang aman sebagaimana yang dinikmati sekarang.

 Sebahagian besar muda-mudi yang memiliki ijazah lebih rela bekerja dalam profesion lain kerana tidak nampak keperluan menganggotai tentera yang terpaksa menggalas senjata menjadi barisan hadapan negara sekiranya diserang musuh.

 Menyedari hakikat itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1995 dalam usaha melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkualiti untuk keperluan ATM terutamanya menjelang alaf baru tahun 2000.

 ATMA adalah institusi pendidikan formal tertinggi untuk melatih pegawai tentera hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menawarkan kepakaran dalam bidang pendidikan.

 Paling membanggakan di akhir abad ini, graduan sulung ATMA akan ditauliahkan pada 27 November serta akan mencatat sejarah negara sebagai pegawai tentera pertama yang dikurniai ijazah menerusi perkongsian bijak antara ATM dan UTM.

 Komandan ATMA, Brigedier Jeneral Datuk Azizan Ariffin TUDM berkata, matlamat ATMA ialah melahirkan pegawai tentera yang berwibawa setelah menjalani latihan selama empat tahun.

 ''Kita berharap dapat melahirkan manusia istimewa gabungan pegawai tentera yang 'gentlemen', matang dan mempunyai nilai kepemimpinan,'' tegasnya.

 Keistimewaan graduan ATMA kerana mempunyai kepakaran dalam bidang akademik dan juga ketenteraan yang pastinya dapat membentuk insan yang berilmu dan berdisiplin tinggi.

 Siswa Kadet (Siska) ATMA perlu menjalani kursus di akademi ini di Sungai Besi selama dua tahun dan dua tahun lagi di UTM, Skudai, Johor.

 Pengajian ijazah UTM-ATM ini menawarkan 11 kursus yang terbahagi kepada tiga pengkhususan iaitu Kejuruteraan, Pengurusan dan Sains.

 Bidang Kejuruteraan meliputi Elektrik dan Elektronik; Mekanikal; Kajiterbang; Automotif; Teknologi Marin dan Komputer.

 Bidang Pengurusan ialah Pengurusan Teknologi dan Perakaunan manakala Sains ialah Sains Komputer dan Sains Nautika.

 Azizan berkata, Siska dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan mereka mendapat elaun sebanyak RM750.50 bagi dua tahun pertama dan RM806.50 bagi tahun ketiga dan keempat pengajian.

 Selepas dianugerahkan ijazah sarjana muda dari UTM, mereka akan dianugerahkan pula tauliah tetap berpangkat leftenan.

 Bagi menyesuaikan diri daripada orang awam kepada tentera, para Siska menjalani Fasa Induksi selama enam minggu.

 Dalam fasa ini, mereka dilatih membina ketahanan mental dan didedahkan kepada pengetahuan asas ketenteraan sebagai persediaan menjalani latihan ketenteraan seterusnya.

 Latihan Ketenteraan Umum;

 * kesemua mata pelajaran ketenteraan diberi penekanan dalam latihan yang dijalankan pada setiap hujung minggu. Latihan bertujuan membentuk Siska berperadaban, berkualiti dan berpengetahuan dalam ketenteraan. Fasa inilah yang paling tinggi peratusan markahnya untuk melayakkan Siska memperoleh ijazah.

 Latihan Ketenteraan Perkhidmatan Tunggal.

 * para Siska dihantar ke Pusat Latihan mengikut perkhidmatan masing-masing iaitu Kolej Tentera Udara di Alor Setar, Kolej Tentera Darat di Ulu Tiram dan Kolej Tentera Laut di Lumut.

 Azizan menegaskan, ATMA tidak akan berkompromi dalam soal kualiti para Siskanya demi merealisasikan tujuan penubuhan institusi tersebut.

 ''Hanya mereka yang benar-benar berminat akan dipilih'', tegasnya.

 Sebab itu, kata Azizan, jadual para Siska telah diatur dengan teliti selaras dengan pengurusan masa dan alam ketenteraan yang sentiasa bersiap sedia bertugas dalam tekanan.

 Buktinya, daripada jumlah 172 yang dipilih ke ATMA hanya 90 yang akan ditauliahkan dalam perbarisan nanti. Yang lain ada yang gagal, masalah kesihatan dan juga disiplin.

 ''Sebagai manusia memang kita semua nak senang, tetapi kita di Atma berbeza...kita bekalkan semuanya dari segi kemudahan infrastruktur dan juga elaun, para Siska hanya perlu belajar.

 ''Kalau dalam perang nak bersenang-senang, susahlah...situasi kita nak sediakan mereka hadapi masa perang,'' katanya.

 Azizan menambah, tempoh pengajian sekarang ialah empat tahun tetapi pihaknya sedang mengkaji untuk menambahkan enam bulan lagi dalam kurikulum itu untuk melahirkan graduan yang seimbang antara akademik dan ketenteraan.

 ''Pengajian di sini memang sukar kerana Siska terpaksa menguasai kedua-dua bidang dan tempoh empat setengah tahun adalah lebih kemas ..hanya orang yang istimewa akan berjaya'' jelasnya.

 Azizan memberitahu, ATMA juga merancang menawarkan kursus peringkat sarjana menjelang tahun 2003 sebagai persiapan menjadikan ATMA sebagai pusat pendidikan tentera yang disegani sebagaimana di Kolej Sandhurst, United Kingdom.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my